Mbappe sedia pikul PSG

Astro Arena
Mac 3, 2019 01:40 MYT
Kylian Mbappe menjaringkan gol pertama Paris St Germain dari kawasan penalti ketika perlawanan Ligue 1 menentang Caen di Stade Michel d'Ornano, Caen, Perancis, 2 Mac, 2019. REUTERS
CAEN 1 PSG 2
Kylian Mbappe gembira untuk memegang tanggungjawab lebih besar dalam ketiadaan Neymar dan Edinson Cavani selepas dua jaringannya membantu Paris Saint-Germain (PSG) bangkit meraih kemenangan 2-1 ke atas Caen dalam Ligue 1, semalam.
Penyandang juara itu tidak mengharungi permulaan yang baik selepas menggegar palang gol lawan sebelum ketinggalan menerusi jaringan pembukaan Casimir Ninga.
Tetapi Mbappe bingkas menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pertamanya dan dia sekali lagi muncul pencetak jaringan pada penghujung permainan -- percubaan Angel Di Maria terkena tiang gol untuk pemain skuad kebangsaan Perancis itu menampan masuk.
Ketika Neymar dan Cavani diketepikan ekoran kecederaan, Mbappe harus memikul peranan selaku penjaring utama, tugas yang cemerlang dilaksanakan oleh pemain berusia 20 tahun itu menjelang aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Manchester United, Rabu ini.
"Kami mendominasi permainan dan mengakhiri perlawanan dengan kemenangan," kata Mbappe.
"Jurulatih telah memberitahu kami sedang membuat persiapan menghadapi perlawanan yang penting, kami perlu memenangi perlawanan ini dan kami berjaya melakukannya."
Ketua jurulatih, Thomas Tuchel, gembira menyaksikan pasukannya mendahului saingan dengan kelebihan 20 mata dan kini boleh memberikan tumpuan untuk aksi UCL berdepan United.
"Menang adalah jalan terbaik untuk bersedia menghadapi UCL. Kami memiliki barisan terbaik dan kami membuktikan mampu meraih kemenangan."
#bola sepak #Caen #kecederaan #Kylian Mbappe #Liga Juara-Juara #Ligue 1 #Manchester United #Paris Saint-Germain #PSG #UCL