KEJAYAAN Croatia meraih tempat ketiga Piala Dunia Qatar 2022 selepas menewaskan Maghribi 2-1 di Stadium Antarabangsa Khalifa awal pagi Ahad mengubah fikiran kaptennya, Luka Modric.

Pemain berusia 37 tahun itu mendedahkan dia akan meneruskan kerjaya antarabangsanya sehingga 2023 dalam usaha mereka untuk memenangi Liga Negara-Negara.

Modric meraikan penampilan ke-162 di peringkat antarabangsa dengan kemenangan ke atas Maghribi empat tahun selepas membantu Crotia muncul naib juara Piala Dunia di belakang Perancis.

Croatia akan berusaha untuk merangkul kejuaraan Liga Negara-Negara pada Jun 2023 dalam kejohanan yang turut menampilkan Belanda, Itali dan Sepanyol.

"Itu rancangannya," ujar Modric mengulas sama ada dia berhasrat untuk terus bermain di peringkat antarabangsa.

Modric berkata, peluang untuk beraksi lagi tidak akan dilepaskan dan selepas itu beliau akan berfikir semula mengenai masa depannya.

"Adalah mengarut jika tidak bermain dalam Liga Negara-Negara dan kemudian kita akan lihat bagaimana seterusnya. Saya pasti mahu kekal untuk beraksi di Liga Negara-Negara," ujar Modric.

Croatia tewas kepada Argentina yang diinspirasikan oleh pemain bintang, Lionel Messi pada separuh akhir Piala Dunia.

Bagaimanapun Modric menegaskan bahawa pasukannya sudahpun mengukuhkan nama mereka dalam kalangan pasukan handalan dalam arena bola sepak dunia.

"Kami mencapai sesuatu yang besar dalam bola sepak Croatia. Kami mahukan emas dan kami semakin hampir.

"Akhirnya kami kembali ke Croatia sebagai pemenang. Croatia bukan satu keajaiban yang muncul setiap 20 tahun.

"Kami membuktikan bahawa kami sentiasa berjaya dan tidak boleh dilihat sebagai kuda hitam tapi sebagai suasa besar bola sepak," katanya.

Biarpun Modric meluahkan hasrat untuk terus bermain di peringkat antarabangsa, jurulatih Zlatko Dalic mengakui masa akan terus berjalan untuk pemain senior yang lain. - Sinar Harian