Pengurus Chelsea, Jose Mourinho berang dengan pengurus Everton Roberto Martinez yang memilih untuk ditemu ramah terlebih dahulu sebelum dirinya.

Sebagai pengurus pasukan yang bertandang ke laman lawan, Mourinho menjangkakan akan dibenarkan untuk ditemu ramah terlebih dahulu sebaik tamat perlawanan kerana sudah menjadi adat bagi pasukan pelawat agar mereka dapat pulang lebih awal.

Bagaimanapun, Mourinho terlalu marah apabila Martinez memilih untuk ditemu ramah terlebih dahulu.

Sedang Martinez bercakap dengan wartawan di luar bilik sidang media, Mourinho datang mencelah.

"Roberto, Roberto lain kali bagi tahu saya untuk ditemu ramah terlebih dahulu kerana kami perlu meneruskan perjalanan pulang," katanya.

Martinez menjawab: "Ini bukan dalam kawalan saya, bukan kuasa saya," sekaligus menyebabkan Mourinho membalas dengan kata-kata kesat.

The Special One kemudiannya memohon maaf kepada pihak media kerana tidak mengadakan pertemuan berasingan dengan alasan sudah terlewat untuk pulang ke laman sendiri.

Chelsea kini menduduki tempat ke-17 liga dengan 4 mata selepas 5 perlawanan.