KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom kini memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan kecederaan kaki kirinya sebelum beraksi di Piala Trek Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2023, yang juga kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Muhammad Shah berkata beliau telah berbincang dengan ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan, John Beasley untuk mengubah corak latihannya kepada lebih ringan bagi mengelakkan kecederaan sedia ada bertambah teruk.

Atlet kelahiran Muar, Johor berusia 25 tahun itu berkata langkah berkenaan dibuat selepas mengambil kira nasihat doktor perubatan fisioterapinya mengenai kemungkinan berlaku kecederaan lebih parah sekiranya beliau melakukan latihan berat.

"Kami (Muhammad Shah dan John) sudah tukar corak program saya, program gim dan trek yang lebih ringan, dan saya banyak buat fisioterapi. Saya buat latihan ringan namun memberi manfaat sama dengan latihan harian biasa selain guna gear ringan dalam latihan sehingga kaki saya betul-betul pulih.

"Dalam masa terdekat ini tiada kejohanan. Kejohanan saya pada Februari untuk kelayakan Olimpik, jadi inilah masa untuk saya kembali pulih," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhammad Shah berkata tumpuan kepada pemulihan berkenaan adalah penting kerana perlumbaan Piala Trek Negara-Negara UCI 2023 di Indonesia dan Mesir pada Febuari dan Mac, adalah perlumbaan penting untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata, kecederaan otot yang dialaminya adalah kesan daripada kecederaan ringan di kaki akibat kemalangan pada perlumbaan saringan kedua acara keirin Sukan Olimpik Tokyo pada Ogos tahun lepas.

-- BERNAMA