KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) Muhammad Ziyad Zolkefli serta jurulatihnya Mohd Faizol Harun, redha dengan keputusan Jawatakuasa Siasatan Dalaman bagi merungkai isu melanda mereka berdua di Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos lepas.

Muhammad Ziyad berkata beliau menerima keputusan berkenaan dengan hati yang terbuka, dan mengakui beliau bersama jurulatihnya melakukan kesilapan tanpa disedari di Stadium Olimpik Tokyo itu.

"Saya reda dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku, keadaan ketika itu agak sukar dan jurulatih untuk mempertahankan dakwaan kami tapi kami mengakui bahawa tanpa kami sedari, melakukan kesilapan seperti yang didakwa.

"Maafkan kami kerana mengecewakan semua dan percayalah bahawa kami sendiri tak mahu keadaan seperti itu. Kami akan menjadikan kesilapan tersebut sebagai pengajaran untuk masa akan datang," katanya dalam satu video kepada media hari ini.

Sehubungan itu, juara Rio 2016 itu tekad enggan membiarkan insiden itu melemahkan semangatnya, malah akan lebih fokus mempersipakan diri bersaing dalam kejohanan disertai pada masa hadapan.



SUKAN-PARALIMPIK (ZIYAD) 2 KUALA LUMPUR



Sementara itu, Mohd Faizol mengambil sikap berlapang dada terhadap keputusan jawatankuasa yang diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah itu, dan akan bertanggungjawab atas kesilapan dilakukannya di Jepun.

"Seperti sedia maklum, sebelum ini bahawa saya bertanggungjawab atas perkara ini dan sebagai seorang jurulatih, dan sebagai orang yang paling dekat dengan Ziyad, kami bersetuju bahawa kami bertanggungjawab sepenuhnya.

"Saya juga memohon maaf dan berharap agar perkara ini tidak diperbesarkan dan sekiranya diberikan jawatan lagi, saya akan melakukan yang terbaik untuk Ziyad dalam pertandingan-pertandingan yang akan datang", katanya.

Dalam pada itu, Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin percaya bahawa hasil siasatan ini dapat menjelaskan apa-apa kemusykilan orang ramai terhadap kes ini, dan menyatakan bahawa semua pihak harus memahami bahawa setiap temasya sukan akan terdapat garis panduan dan peraturannya tersendiri, yang setiap atlet harus mengikuti agar mengekalkan standard dan keadilan dalam setiap peserta atlet.

Megat D Shahriman juga menitikberatkan kepentingan siasatan dalam mempengaruhi masa depan Ziyad bersama staf bantuan, yang telah membantu atlet lontar peluru itu mencapai tahap tingginya dalam acara Paralimpik.



SUKAN-PARALIMPIK (ZIYAD) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR



"Insiden malang ini tidak seharusnya berlaku, tetapi ini memberi peluang sebagai pengajaran berharga yang akan menjadi titik perubahan kepada semua pentadbir sukan, jurulatih dan terutamanya atlet, untuk mematuhi protokol ketat yang dilaksanakan bagi menjayakan pengurusan mana-mana acara sukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian, Megat D Shahriman memaklumkan MPM akan mengambil tindakan proaktif untuk memastikan bahawa semua atlet cukup fasih akan tatacara dan peraturan dalam setiap temasya yang dipertandingkan, bagi mengelakkan insiden sebegini.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan bagi merungkai isu melanda Muhammad Ziyad, merumuskan atlet itu dan jurulatih Mohd Faizol Harun, tidak dapat membuktikan mereka sampai pada waktu ditetapkan di bilik panggilan.

Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia pada temasya sukan berprestij di Jepun itu.

Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai 'DNS', susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan, atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

-- BERNAMA