Naik taraf jadi akademi, SMK Za'ba sasar lahir atlet bertaraf dunia

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 13, 2018 06:01 MYT
SMK Za'ba dinaik taraf sebagai sekolah sukan negeri (SSN) pada tahun 2009 di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Foto Twitter @nisakasnoon
Penubuhan akademi bola sepak di sekolah sukan negeri Sekolah Menengah Kebangsaan Za'ba (SMK Za'ba) bakal merancakkan lagi usaha kerajaan dalam melahirkan lebih ramai atlet tanahair yang menyerlah di persada antarabangsa.
Menurut pengetua sekolah berkenaan, Roslin Balia, cadangan mewujudkan akademi tersebut di sekolah itu dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), masih di peringkat awal.
Buat waktu ini, pihaknya masih menunggu untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun.
"Sejak cadangan itu diutarakan bekas menteri besar Datuk Seri Mohamad Hasan, pihak sekolah telah mula menjalinkan kolaborasi dengan PBNS.
"Yang dalam perancangan ialah, pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kami yang berpotensi, berpeluang beraksi bersama pasukan bola sepak negeri itu," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun yakin hasrat kerajaan negeri terdahulu itu akan direalisasikan kerajaan negeri baharu di bawah Pakatan Harapan.
November lalu, Mohamad berkata, SMK Za'ba akan dinaik taraf menjadi Akademi Bola Sepak.
Katanya yang juga Presiden PBNS ketika itu, akademi tersebut dijangka melahirkan pemain tempatan yang bermutu, seterusnya mampu mewakili pasukan ke peringkat lebih tinggi.
BACA: SSNS SMK Za'ba 'kilang' lahir pelajar serba boleh
Menurut Roslin, ketika ini, kira-kira 90 peratus skuad Bawah 19 tahun Piala Belia PBNS terdiri daripada bekas pelajar SMK Za'ba.
"Kami sebenarnya telah ikut apa yang disampaikan oleh pengurusan PBNS sebelum ni. Mereka memang kata kami akan jadi akademi.
"Cuma kami menunggu masa sahaja untuk ia dilancarkan secara rasmi. Setakat ini, kami sudah pun beri pelajar kami, pemain kami, kepada persatuan," tambahnya.
SMK Za'ba dinaik taraf sebagai sekolah sukan negeri pada tahun 2009 di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.
Jawatan Presiden PBNS ketika ini kosong selepas Mohamad meletak jawatan 29 Mei lalu. Ia kini dipangku timbalan presiden yang juga bekas setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan.
Aminuddin setakat ini dilaporkan belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak untuk jawatan Presiden PBNS.
#akademi #Aminuddin Harun #Barisan Nasional #bola sepak #Kuala Pilah #Menteri Besar #Mohamad Hasan #Pakatan Harapan #PBNS #pengetua #persatuan bola sepak negeri sembilan #Roslin Balia #SMK Za'ba