PEMILIK kelab Liga Malaysia (Liga-M), Kelantan FC, Norizam Tukiman mengulangi ketegasan hanya akan membayar gaji penuh pemain-pemain The Red Warriors (TRW) sekiranya pasukan pantai timur tersebut meraih kemenangan.

Menurutnya yang lebih dikenali Zamsaham, dia akan membayar tunggakan itu sekiranya kelab yang berada di kedudukan ke-13 Liga Super tersebut meraih dua kemenangan dalam perlawanan seterusnya.

"Pasal pemain kena potong 50 peratus dan tak dapat KPI. 10 kali kalah, satu kemenangan dan satu seri. Nombor 13 dalam liga. Nak KPI penuh? Nak gaji penuh?

“Berikan saya dua kemenangan dan 50 peratus yang ditahan akan dibayar penuh. Anda ada komitmen dan saya juga ada komitmen. Berikan saya prestasi.

“Pekerja yang baik kita akan kekalkan. Mana prestasi buruk kita buang. Dalam saham dipanggil cut loss atau tukar kepada lain yang lebih baik,” tulisnya, yang juga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pemain-pemain yang gagal mempamerkan prestasi terbaik bersama TRW, dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Terdahulu terdapat rungutan dipercayai pemain-pemain TRW di media sosial yang mendakwa tidak dibayar gaji penuh dan juga bonus petunjuk prestasi utama (KPI) setakat ini.

Sebagai rekod, Kelantan akan ke Stadium Darul Aman, Alor Setar menentang Kedah Darul Aman FC pada 19 Mei.

Kemudian anak buah Frank Bernhardt itu dijangka menerima kunjungan PDRM FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 23 Mei.

Mengenai larangan perpindahan pemain, Norizam berkata, "TRW sudah tiga tahun reputasi tiada transfer band dan so far tiada lagi sekatan untuk mengambil pemain dalam perpindahan kedua.

"Kalau ada hanyalah kes Fadel Antar yang sedang dilawan dan diselesaikan di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Peguam TRW sedang buat kerja untuk kebenaran memihak Kelantan FC. InsyaAllah tiada sekatan untuk ambil pemain baharu."

Dalam masa sama, Norizam juga mengakui kecewa berhubung isu penjualan jersi TRW yang didakwa pemain ke-12 pasukan pantai timur berkenaan.

“Isu-isu berkenaan jersi biarlah manager saya jawab. Saya minta mereka pulangkan sahaja balik duit kalau benar jersi itu rosak dan tidak selesai.

Order jersi banyak, sepatutnya saya boleh untung banyak. Tapi order tak dapat dipenuhi. Sayang.... saya kena ubah sesuatu,” tulisnya lagi. - Sinar Harian