BINTANG Brazil, Neymar berkata dia belum dapat memberi kepastian sama ada akan terus bermain untuk Brazil selepas mereka tersingkir dari Piala Dunia 2022.

Pasukan pilihan ramai itu tersingkir pada peringkat suku akhir apabila tewas menerusi sepakan penalti kepada naib juara 2018, Croatia.

“Masih terlalu awal untuk mengatakannya. Saya belum dapat beri kepastian, saya tidak boleh menjamin apa-apa”, kata Neymar seperti yang dipetik media Brazil.

“Saya belum menutup pintu untuk mewakili pasukan kebangsaan tetapi saya juga tidak memberi jaminan bahawa saya akan kembali,” kata Neymar, yang membuat penampilan sulung antarabangsa pada usia 18 tahun.

Neymar menjaringkan gol pada minit ke-106 untuk meletakkan Brazil pendahuluan pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam 90 minit perlawanan.

Ia merupakan gol kelapan Neymar dalam Piala Dunia.

LAMAN MIKRO PIALA DUNIA QATAR 2022 DI SINI



Bagaimanapun, Bruno Petkovic menyamakan kedudukan pada minit ke-117, membawa perlawanan ke penentuan penalti.

Dalam penentuan sepakan penalti, Croatia menewaskan Brazil dengan jaringan 4-2 untuk mara ke separuh akhir.

Neymar telah bermain dalam tiga edisi Piala Dunia, membantu mereka mara ke separuh akhir pada 2014 sebelum kekalahan memalukan 7-1 di tangan Jerman.