PARIS Saint-Germain (PSG) mengesahkan bahawa Neymar akan diketepikan selama enam hingga lapan minggu gara-gara kecederaan buku lali.

Bintang Brazil itu diusung keluar sewaktu pasukannya menewaskan Saint-Etienne 3-1 hujung minggu lalu dan dilihat meninggalkan stadium dengan bertongkat.

Ketua jurulatih PSG, Mauricio Pochettino, berkata dia tidak menjangkakan ia satu kecederaan serius tetapi hasil ujian menunjukkan bahawa ligamen buku lali Neymar terseliuh dan memerlukan waktu rehat panjang.

PSG berkata perkembangan terkini mengenai proses pemulihan pemain itu akan diketahui minggu ini.

Jika Neymar terpaksa diketepikan selama dua bulan, dia akan terlepas lapan perlawanan dalam kesemua kejohanan, termasuk aksi PSG di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Club Brugge dan kunjungan ke laman Lyon dalam saingan Ligue 1 pada 8 Januari depan.

Pemain berusia 29 tahun itu bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaiknya sepanjang musim 2021-22 dengan hanya menghasilkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan sepanjang 14 penampilan dalam kesemua kejohanan.