KUALA LUMPUR: Sebagai salah seorang pemain terunggul sepanjang zaman sukan skuasy wanita dunia, legenda negara Datuk Nicol Ann David sudah pasti tahu apa yang diperlukan untuk muncul sebagai seorang juara.

Jadi, siapa yang lebih baik jika bukan Nicol sendiri untuk membantu negara melahirkan jaguh di pentas dunia.

Selepas Nicol bersara pada 2019, tiada seorang pun pemain negara dapat mencontohi pencapaiannya yang luar biasa.

Tetapi semua itu kini akan berubah susulan pelancaran Nicol David Organisation (NDO) yang boleh melahirkan penggantinya untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Langkah ini kerana kanak-kanak berusia antara lapan dan 12 tahun yang menjalani program latihan di NDO boleh mengharapkan sentuhan ajaib Nicol yang akan bertindak sebagai ketua jurulatih dalam organisasi itu yang diasaskan bersama bekas pmain Colombia, Mariana de Reyes.

"Ia bukan KPI (petunjuk prestasi utama) saya tetapi suda pasti saya berasa sangat gembira jika kami mampu melahirkan seorang juara suatu hari nanti," kata Nicol kepada pemberita selepas pelancaran NDO di sini.

NDO iah sebuah pertubuhan bukan berkeuntungan, bukan kerajaan, yang bermatlamat memperkasakan kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan mnenerusi sukan dan pendidikan.

Selain mengikuti latihan skuasy, NDO turut menyediakan kelas bahasa Inggeris yang dijalankan menerusi kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat di sini.

Nicol, bekas juara dunia sebanyak lapan itu, berkata program NDO akan bermula 13 Jun ini dengan melibatkan murid-murid daripada empat sekolah di Lembah Klang iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Jail, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sri Petaling 1 dan 2 serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Bukit Jalil.

Menurutnya ibu bapa hanya perlu membayar serendah RM18 sebulan untuk mendaftar anak-anak mereka untuk mengikuti program tersebut.

Beliau percaya dengan memberikan peluang seperti itu kepada kanak-kanak di Malaysia mampu mengubah masa depan mereka.

"Matlamat saya sekarang adalah untuk memberi kembali kepada masyarakat dengan harapan anak-anak muda juga boleh mencapai impian mereka dan menjadi generasi yang memberi inspirasi bukan sahaja kepada diri mereka, tetapi juga keluarga dan komuniti mereka," tambahnya.

-- BERNAMA