Nigeria enggan dipengaruhi kemelut keganasan, mahu benam Perancis

Aizat Sharif
Jun 30, 2014 22:48 MYT
Nigeria berusaha untuk menjadi wakil Afrika yang berjaya layak ke peringkat suku akhir
Satu lagi wakil Afrika selain Algeria iaitu Nigeria tidak mahu kemelut politik dan keganasan yang berlaku di itu mereka mempengaruhi impian mereka untuk membenam cabaran Perancis dan melangkah ke peringkat suku akhir dengan bergaya.
Keganasan pengeboman yang berleluasa berlaku di beberapa tempat awam di Abuja, pembunuhan tentera Nigeria di perbatasan negara itu dan kejadian penculikan wanita dan gadis oleh kumpulan militant, Boko Haram menambahkan lagi sengsara dan bebanan yang dibawa oleh pasukan Nigeria dalam menghadapi dunia.
Bertemu skuad ‘Les Bleus’ di Brasilia akan digunakan sebaik mungkin oleh Nigeria untuk merobek pertahanan Perancis dalam usaha untuk membawa panji Afrika ke peringkat suku akhir.
Prestasi Nigeria di peringkat kumpulan tidaklah sebaik mana kerana skuad ‘Super Eagles’ kendalian Stephen Keshi ini hanya berjaya menuai empat mata hasil satu kemenangan, seri sekali dan tewas sekali.
Pemain Nigeria Peter Odemwingie (kiri) menerima ucapan tahniah setelah menjaringkan gol untuk pasukannya ketika perlawanan menentang Bosnia dalam pusingan kumpulan F pada 21 Jun lalu. -AP Photo/Felipe Dana
Pemain tengah, Peter Odemwingie yang menjaringkan gol tunggal ketika menentang Bosnia-Herzegovina sudah pasti akan diturunkan dan akan bergandingan dengan penyerang kelab Rusia, CSKA Moscow iaitu Ahmed Musa yang meledak dengan dua jaringan yang hampir mengheret perlawanan menentang Argentina untuk berkesudahan seri sebelum tewas pada babak akhir permainan.
Selain itu, John Obi Mikel dan Michel Babatunde juga akan diletakkan di bahagian tengah untuk melancarkan gerakan serangan Nigeria.
Sementara itu, ‘Les Bleus’ yang bakal turun dengan motivasi tinggi berbekalkan dua kemenangan dan seri sekali pada peringkat kumpulan sudah tentu mahu menjana kemenangan dalam usaha mengembalikan kejayaan yang kali terakhir digapai pada tahun 1998 di laman sendiri.
Episod sedih Piala Dunia 2010 dimana keharmonian pasukan diganggu gugat sehingga menyebabkan mereka tersingkir awal segera mahu dilupakan oleh mereka dan ramai menganggap skuad 2014 ini merupakan acuan terbaik pemain senior dan ‘junior’ yang pernah mereka saksikan.
Percaturan jurulatih Didier Deschamps nampaknya akan terus mengekalkan barisan pemainnya yang begitu menyerlah ketika perlawanan peringkat kumpulan.
Pemain Perancis Karim Benzema ketika beraksi dalam perlawanan kumpulan E menentang Ecuador pada 25 Jun lalu. - AFP PHOTO / FRANCK FIFE
Peledak utama, Karim Benzema (gambar) dijangka akan tetap bermain meskipun perlawanan ini berlangsung pada hari kedua bulan Ramadan dan beliau dijangka akan dibantu oleh Olivier Giroud, Paul Pogba dan Blaise Matuidi.
Yohan Cabaye dan Mathieu Valbuena juga akan diturunkan membantu barisan serangan dan berdasarkan percaturan pada kertas, Perancis dijangka akan layak dengan mudah.
RAMALAN ASTRO AWANI: Perancis..3 Nigeria..1
#Nigeria #Perancis #Piala Dunia