PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Noor Azman Rahman, 55, sebagai Setiausaha Agungnya yang baharu.

Menurut FAM dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasminya, pelantikan itu berkuat kuasa 1 September 2022 bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Pada 23 Ogos lalu, Mohd Saifuddin berkata keinginan untuk kembali menyambung kerjaya di peringkat antarabangsa menjadi sebab beliau mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada badan induk bola sepak negara itu.

BACA: Setiausaha Agung FAM letak jawatan, tumpu kerjaya antarabangsa

"Noor Azman ketika ini bertugas sebagai Koordinator Presiden FAM sejak tahun 2018.

"Beliau pernah dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) pada 2012 sebelum beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung MUSA selama tiga tahun dari 2015 hingga 2018.

"Selain pengalaman luas bersama MUSA dan tugasannya selaku Koordinator Presiden FAM, beliau juga pernah terlibat dengan beberapa jawatankuasa tetap FAM, antaranya sebagai Ahli Jawatankuasa Media FAM (2010-2013), Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM (2014-2018) serta Ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM (2018-2019)," tambah kenyataan itu.