KUALA LUMPUR: Sebelum ini rakyat Malaysia pasti tidak sabar menyaksikan persembahan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, setiap kali beliau muncul di perlawanan penting kejohanan besar dunia.

Ada yang teruja, ada yang menjerit malah ada juga yang menangis setiap kali melihat bintang itu berjaya membawa pulang kejayaan untuk negara tercinta.

Kali ini, perasaan itu dirasai sendiri jaguh badminton itu apabila menyaksikan beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, bersaing untuk merebut pingat gangsa menentang Indonesia di Olimpik 2020.

Lee Chong Wei membuat perkongsian itu melalui Instagramnya, pada Sabtu.

BACA: Tokyo 2020: Beregu badminton negara hadiahkan pingat gangsa pertama buat Malaysia


[TERKINI] Pasukan beregu negara bawa pulang pingat gangsa

Melalui perkongsian itu, beliau menyampaikan ucapan tahniah kepada skuad negara dan berkongsi keterujaan menonton perlawanan badminton secara langsung di depan televisyen.

“Tahniah buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pertama kali layan Olimpik badminton medal watch live depan TV, Basah ketiak!,” kongsinya di Instagram Story.


.

Menjengah ke laman Twitter, rata-rata rakyat Malaysia terhibur dengan apa yang dikongsi oleh Chong Wei.

Menurut mereka, akhirnya beliau rasa apa yang rakyat Malaysia rasa ketika menyaksikan perlawanannya terutama ketika menentang bintang badminton China, Lin Dan.


Beregu lelaki badminton negara, Aaron-Wooi Yik berjaya meraih pingat gangsa pertama buat kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menewaskan jaguh Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di Musashino Forest Sports Plaza sebentar tadi.

Aaron-Soh Wooi menyingkirkan pasangan Indonesia itu dengan kutipan mata 17-21, 21-17 dan 21-14.

Tahniah skuad beregu Badminton Negara!