Ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee bersedia menyahut cabaran memperbaiki kedudukan skuad kebangsaan yang kini merosot dalam ranking dunia.

Kim Swee berkata dengan kerjasama baik daripada semua pihak, beliau yakin dapat merencanakan perancangannya dalam mempersiapkan skuad kebangsaan bagi menghadapi beberapa perlawanan penting tahun ini.

Kim Swee yang sebelum ini pengendali sementara skuad negara dilantik secara rasmi selaku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dengan kontrak selama dua tahun bermula tahun ini.

"Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada FAM termasuk Pasukan Petugas Khas di bawah (Timbalan Presiden FAM) Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang memberi kepercayaan ini kepada saya.

"Sudah tentu menjadi cabaran kepada saya...saya harap dengan kerjasama semua pihak, kita dapat mencapai prestasi lebih baik. Perancangan jangka pendek adalah perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia pada Mac berdepan Arab Saudi. Saya akan panggil pemain pada awal Mac," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah pusat membeli-belah di Subang pada Isnin.

Kim Swee berkata tumpuan utamanya kini adalah perlawanan playoff Kelayakan Piala Asia 2019 pada awal Jun ini.

"Kalau kita gagal playoff pertama, kita tidak layak ke pusingan seterusnya. Apa yang penting adalah program yang saya berikan kepada pihak pengurusan. Saya harap kita dapat ikuti.

"Sudah tentu dengan jadual yang saya sediakan, saya percaya kita mampu layak ke peringkat seterusnya. Kita berharap undian nanti memihak kepada pasukan negara," katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee juga meletakkan sasaran muncul juara pada Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 yang akan berlangsung dari 28 November hingga 18 Disember.

"Paling mustahak, pemain tempatan perlu diberikan tempat ketika saingan Liga Malaysia bermula nanti, kerana mereka perlu menampilkan prestasi yang baik," katanya.