ALOR SETAR: Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk menolak budaya 'supreme' atau memberikan kuasa penuh kepada seseorang individu di dalam sukan bola sepak.

Menurutnya, kenyataan 'tokong' yang dibuat sebelum ini adalah selepas wujud campur tangan 'orang' tertentu dalam memberi dan mengaturkan arahan kepada pasukan-pasukan lain.

Selain itu, katanya, individu tersebut turut menghadiahkan bonus kepada pasukan lain itu sekiranya berjaya mengalahkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

"Saya maksudkan 'tokong' itu (adalah) jangan (ada seseorang yang) terlalu supreme atau semua orang kena tanya dia (individu berkenaan). Mana boleh macam itu. Bola sepak permainan untuk semua orang,

"Dia 'order' sana, 'order' sini, suruh buat ini, suruh buat itu. Kawan (ada pihak) nak pergi latih sana, kena tanya dia dulu. Lepas itu dia 'round' pusing pasukan lain, beri bonus kalau menang dengan Kedah. Saya tahu semua itu. Dia ingat orang tak tahu. Jangan bagi saya cerita semua," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Sanusi menegaskan bahawa keputusan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) memanggil semula penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad dibuat berlandaskan perjanjian pinjaman pemain secara sah.

Ketiadaan pemain itu selepas ini juga tidak sesekali akan memberi kesan kepada skuad Sang Kenari terutama dalam menghadapi saingan Piala AFC bulan hadapan, memandangkan pasukan yang berpangkalan di utara tanah air itu mampu melahirkan lebih banyak 'ubi muda' selepas ini.

Beliau juga mengesahkan bahawa tidak akan membeli pemain itu secara tetap pada masa hadapan sebaliknya memberikan fokus kepada pembangunan bakat-bakat baharu.

"Orang lain pun boleh main (juga), saya tengah buat sekarang, Liga Menteri Besar di seluruh Kedah, saya ingat beratus orang akan dilahirkan daripada liga itu, saya tidak risau pasal pemain, ramai pun anak Kedah yang dieksport keluar, dilatih dan dicungkil di Kedah, saya tidak takut,

"(Skuad Kedah) macam kilang melahirkan pemain berkualiti, pasukan selatan pun ambil pemain Kedah dua, tiga orang, saya nak hairan apa?" katanya.

BACA: Kedah tidak terkesan dengan kepulangan semula Syafiq Ahmad ke JDT

Terdahulu, tidak sampai satu musim dipinjamkan ke KDA FC, JDT memanggil semula penyerangnya, Syafiq Ahmad untuk kembali menyertai pasukan Harimau Selatan.

Perkembangan itu dimaklumkan JDT dalam kenyataan di media sosial miliknya sambil memberitahu bahawa penyerang kebangsaan itu akan kembali ke kelab asalnya sejurus berakhir rehat antarabangsa bulan depan.

Keputusan itu juga dilihat dilakukan selepas kenyataan secara terbuka Sanusi berhubung isu pengadilan dan gelaran 'tokong' yang diberikan kepada individu tertentu.