KUALA LUMPUR: Penganjuran acara angkat berat pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 menerima tamparan selepas Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menarik diri daripada mengendalikannya.

Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat dalam kenyataan malam ini memaklumkan penarikan diri itu adalah susulan ketetapan badan induk tersebut berhubung kesalahan berkaitan isu doping yang tidak disambut baik oleh Majlis Sukan Negara.

Beliau berkata ketetapan itu diluluskan oleh Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Exco PABM.

Menurut ketetapan itu, jika terdapat mana-mana atlet ahli gabungan/persatuan negeri yang positif doping maka atlet tersebut dan atlet lain dalam ahli gabungan/persatuan negeri itu akan digantung daripada menyertai Sukma ke-20.

Mereka juga digantung daripada menyertai mana-mana kejohanan dalaman dan antarabangsa selama dua tahun.

Pada masa sama, Ayub memaklumkan PABM telah menerima laporan daripada Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) berkaitan tiga atlet angkat berat dari dua negeri.

Ketiga-tiga atlet didapati positif ujian doping sebelum menyertai Sukma kali ini dan dilarang mengambil bahagian dalam acara angkat berat.

Terdahulu, Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma ke-20 memutuskan saingan angkat berat ditunda kepada 20 Sept berbanding jadual asal yang bermula hari ini.

-- BERNAMA