PENGENDALI Perak FC, Datuk Lim Teong Kim, kecewa dengan permukaan padang yang tidak rata menjejaskan corak permainan yang diterapkan pasukannya ketika seri tanpa jaringan dengan Kelantan United di Kota Bharu, malam tadi.

Perak dan Kelantan United gagal merekodkan kemenangan pertama musim ini dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada Sabtu.

Walaupun tetap berpuas hati dengan kutipan satu mata, Teong Kim bagaimanapun menjelaskan pasukannya gagal menterjemah corak permainan yang terbaik sekaligus menjejaskan peluang untuk mendapatkan kemenangan.

"Padang di sini memang susah untuk bermain bola kerana tidak rata," kata Teong Kim.

"Bola melantun ketika melakukan hantaran dan ia menyukarkan pasukan untuk melakukan kombinasi permainan yang lebih lancar.

"Jika corak permainan untuk melakukan hantaran jauh, mungkin berhasil tetapi ia bukan seperti yang kami harapkan."

Bagi jurulatih Kelantan United, Tomas Trucha, yang turut kecewa tuan rumah gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri dan berusaha mendapatkan kemenangan.

"Pemain-pemain tidak menghadirkan permainan yang seperti kami harapkan," kata Trucha.

"Pemain gantian turut gagal menterjemahkan apa yang telah dirancangkan bagi membantu pasukan. Terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki sebelum saingan akan datang." - Stadium Astro