SUKAN

Papan selaju: Momo juara, Chica sumbang dua podium di Singapura

Ian Johan Ariff 20/07/2025 | 02:40 MYT
Momo dengan aksi frontside feeble grind semasa sesi latihan di Jurong Lakeside Skate Park pada Jumaat.
JURONG, SINGAPURA: Atlet papan selaju kebangsaan, Mer Nullah ‘Momo’ Khan menggegarkan Singapura apabila dinobatkan juara kategori street lelaki dalam Kejohanan Papan Selaju Kebangsaan Singapura yang berlangsung di Jurong Lakeside Skate Park pada Sabtu.,

Rakan senegaranya, Nur Tia Adelisa Tajul Fuad atau lebih dikenali sebagai Chica, turut mencuri tumpuan apabila meraih tempat kedua dalam dua kategori wanita street dan park, sekali gus melengkapkan dominasi Malaysia di podium kejohanan.

Kedua-dua kategori wanita menyaksikan penyertaan lima peserta, dengan peluncur tuan rumah Tina Wan menjuarai kedua-duanya.

Chica, yang baru berusia 10 tahun, menampilkan aksi meyakinkan untuk mengatasi Humairah Ahmad Alkhatib yang berada di tempat ketiga dalam kedua-dua disiplin.



Dalam saingan akhir street lelaki, Momo memulakan aksi dengan run yang hampir sempurna, meraih 52.57 mata.

Momo kemudian menambah 98.56 mata hasil dua trik tunggal, mengesahkan gelaran juara dengan kelebihan selesa ke atas tujuh peserta lain dari Singapura.

Peluncur Singapura, Juvi Kiedis dan Sharil Effendy, masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.

Penyertaan Momo dalam kejohanan ini merupakan sebahagian daripada program pendedahan dan pembangunan bakat anjuran pasukan pembangunan The Razkals, dengan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MySKATE).

Program jangka panjang ini bertujuan melahirkan atlet berpotensi tinggi untuk temasya Olimpik Los Angeles 2028 dan seterusnya.



Namun begitu, seorang lagi peluncur muda negara di bawah program ini, Mahathir Nor Daniel, 16, terpaksa dihantar pulang ke Johor Bahru selepas mengalami kecederaan patah tangan akibat terjatuh semasa sesi latihan pada Jumaat.

Dua lagi peserta negara dalam kategori street lelaki ialah Ahmad Adlan Anaqi, yang menamatkan pusingan kelayakan di tempat ke-10, serta Nuh Zhaffran Mohd Hafizz di tempat ke-20, sekali gus tidak layak ke pusingan akhir.







#momo khan #Chica #the razkals #Papan Selaju Kebangsaan Singapura