TOKYO: Persoalan sama ada Malaysia mampu menjelma pingat pertama di Sukan Paralimpik Tokyo yang masuk hari keempat hari ini pastinya berlegar-legar di minda peminat sukan tanah air ketika ini.

Di atas kertas, peluang Malaysia untuk mengutip pingat pertama tampak cerah apabila jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin bakal turun memperagakan aksinya dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) dijadual bermula 11 pagi ini waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia) di Tokyo International Forum.

Atlet berusia 22 tahun dari Sarawak dianggap sebagai pencabar utama pingat untuk acara itu selepas memecah rekod dunia pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas.

Beliau melakukan angkatan bebanan 230kg, sekali gus memadamkan rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami dengan bebanan seberat 229kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.

Selain itu, Bonnie yang bakal membuat penampilan pertama di pentas Paralimpik juga menjuarai pertandingan di UAE itu selain muncul juara Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia 2021 di Bangkok, Meim lepas.

Sementara itu, saingan hari ketiga temasya berprestij di Jepun menyaksikan empat wakil negara menampilkan prestasi memberangsangkan dalam acara disertai masing-masing semalam.

Dalam pusingan penentuan ranking acara memanah, juara dunia 2019, S. Suresh yang beraksi bagi acara recurve lelaki terbuka mengumpul 579 mata untuk mengasatasi rekod musim terbaiknya sebelum ini iaitu 557 mata di sebuah kejohanan di Republik Czech, baru-baru ini.

Suresh menamatkan saingan di tangga ke-28 daripada 31 pemanah secara keseluruhan dan dijangka membuat perhitungan pada pusingan pertama dengan pemanah dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev, Jumaat depan (3 Sept).

Seorang lagi wakil negara, Wiro Julin yang bersaing dalam acara compound lelaki terbuka mencatat 673 mata bagi memadam rekod sebelum ini dengan 646 mata juga dalam kejohanan sama di Republik Czech.

Menamatkan cabaran di tangga ke-26 daripada 36 peserta, pemanah berusia 26 tahun yang mendapat 'bye' di pusingan pertama akan berentap dengan rakan senegara Bato, Bair Shigaev hari ini.

Dalam pada itu, atlet termuda negara dalam temasya kali ini, Brenda Anellia Larry tetap mencuri tumpuan di Pusat Akuatik Tokyo apabila memecah rekod Asia baharu miliknya sendiri dalam acara renang 50 meter (m) kuak kupu-kupu S4 (kecacatan fizikal) dengan 1 minit 00.62 saat (s).

Oleh kerana kekurangan peserta dalam kategori S4, atlet berusia 16 tahun dari Sabah yang terpaksa bertanding dalam kategori S5 semalam pernah mencatat rekod terdahulu iaitu 1:09.72s yang dicipta di Kejohanan Siri Dunia Renang Para di Singapura pada 2019.

Biarpun mempamerkan renangan mengagumkan, namun ia tidak cukup untuk membantu Brenda mara ke peringat akhir selepas hanya lapan perenang terbaik sahaja layak merebut pingat dalam acara itu.

Rakan sepasukan Brenda, Jamery Siga pula membayangkan penampilan ketiganya di pentas Paralimpik di sini adalah yang terakhir baginya selepas gagal layak ke peringkat akhir acara 50m kuak kupu-kupu lelaki S5 selain faktor umur yang kian meningkat membataskannya untuk menyertai edisi seterusnya di Paris 2024.

Perenang Sarawak berusia 36 tahun itu mengakui permulaan yang kurang baik mengakibatkannya mengakhiri kempen di Jepun di tempat terakhir dalam saringan ketiga dengan catatan masa 40.32s.

Wakil tunggal negara dalam acara tenis kerusi roda, Abu Samah Borhan pula bangkit daripada ketinggalan kepada pemain Costa Rica, Jose Pablo Gil dalam set pertama, 4-6, sebelum menampilkan aksi cemerlang 6-3, 6-2 untuk mara ke pusingan kedua hari ini.

Abu Samah yang memperbaiki prestasinya dalam penampilan keduanya selepas tersingkir awal di pusingan pertama Rio 2016, menghadapi tugas sukar apabila turun beraksi menentang pemain pilihan kelapan dunia, Tom Egberink dari Belanda bagi merebut slot ke pusingan ketiga di Ariake Tennis Park.

-- BERNAMA