ALOR SETAR: PDRM melakar kejutan apabila merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kedah memasuki perlawanan ketiga Liga Super berbekalkan dua kemenangan sekali gus menjadi momentum terbaik mereka untuk terus melakar kemenangan sementara satu kekalahan dan satu seri menyaksikan PDRM turut mahu memburu mata penuh untuk meletakkan mereka dalam kedudukan yang lebih baik untuk saingan liga.

Selepas separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, perlawanan yang berlangsung di Alor Setar itu mula menghadirkan suasana yang lebih meriah dalam 45 minit yang kedua. 

Kedah terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Manuel Ott dilayangkan kad merah pada minit ke-60 atas kekasaran yang dilakukan ke arah pemain lawan.

Dalam suasana perlawanan yang semakin tegang, tuan rumah berdepan satu lagi tamparan apabila pengendali pasukan, Nafuzi Zain pula dilayangkan kad merah atas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Kelebihan itu digunakan sebaik mungkin oleh PDRM apabila mereka mengasak kubu pertahanan Kedah dengan lebih agresif dan berjaya mendapatkan jaringan menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-75.

Ketinggalan satu jaringan dengan tanpa seorang pemain ternyata terlalu sukar buat Kedah bangkit dalam perlawanan ini sekali gus akur dengan kekalahan di laman sendiri.