"KEKALKAN semangat tinggi di sebalik kesulitan yang dialami," demikian tekad Baddrol Bakhtiar terhadap persiapan skuad senior kebangsaan untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Afghanistan pada 7 dan 11 Oktober ini.

Tidak dinafikan, skuad negara kini berdepan cabaran, khususnya dalam membentuk keserasian dalam kalangan pemain.

Namun, Baddrol, yang juga penolong kapten pasukan kebangsaan, tidak mahu perkara itu menjejaskan tumpuannya dan juga rakan sepasukan.

Aksi persahabatan menentang Singapura dan Afghanistan bakal memberi gambaran awal mengenai pemain yang mampu membarisi skuad negara untuk menghadapi Piala AFF Suzuki 2016.

"Saya tengok lebih ramai pemain yang berada dalam prestasi terbaik dipanggil untuk persiapan kali ini.

"Kali ini, saingan merebut tempat memang tinggi berikutan seramai 30 pemain dipanggil untuk sesi latihan pusat.

"Dari segi posisi pemain, sememangnya sengit untuk direbut," ujar tonggak Kedah itu.

Dalam pada itu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, pula berharap prestasinya dapat terus dipertingkatkan, terutama bersama Harimau Malaysia.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui mengalami musim yang kurang memberangsangkan, namun dia menjadikan situasi itu sebagai motivasi untuknya memperbaiki kelemahan.

"Saya tidak berpuas hati dengan prestasi saya tetapi saya akan bangkit balik.

"Saya perlu tingkatkan lagi usaha saya dalam latihan untuk menghadapi perlawanan yang akan datang," katanya.