Peng Soon-Liu Ying ke pusingan kedua Terbuka Perancis

Bernama
Oktober 26, 2021 21:52 MYT
Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (gambar) mengenepikan gandingan dari India Dhruv Kapila- N. Reddy Sikki 21-19, 21-19. - Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menebus kekecewaan di Terbuka Denmark tempoh hari apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis pada Selasa.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengenepikan gandingan dari India Dhruv Kapila- N. Reddy Sikki 21-19, 21-19 dalam perlawanan pembukaan di Stadium Pierre de Coubertin, Paris.
Pilihan kelima kejohanan dijangka berdepan pasangan Jepun Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo pada pusingan kedua. Gandingan Jepun itu menewaskan pasangan yang mengejutkan gandingan negara pada Terbuka Denmark Chang Tak Ching-Ng Wing Yung dari Hong Kong 15-21, 21-17, 21-18.
Satu lagi gandingan beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai memerlukan 25 minit sebelum mara ke pusingan kedua apabila menewaskan Oliver Leydon-Davis-Anona Pak dari New Zealand 21-9, 21-12.
Pasangan di ranking ke-13 dunia itu akan berdepan Rodion Alimov-Alina Davletova dari Rusia, yang menewaskan Ko Sung Hyun-Eom Hye Won dari Korea Selatan 21-17, 21-11.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki pula, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mara ke pusingan seterusnya selepas mengenepikan rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 22-24, 22-20, 21-17 dalam tempoh 70 minit pertembungan.
Pilihan ketujuh kejohanan akan menentang pasangan England Callum Hemming-Steven Stallwood di pusingan kedua.
Sze Fei-Nur Izzudin terkandas awal sekali gus tidak dapat mengulangi kecemerlangan di Terbuka Denmark apabila berjaya mengejutkan pasangan di ranking ke-10 Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dan ranking ketujuh dunia dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Keputusan perlawanan:
--------------------------------
(nota: membabitkan pemain Malaysia)
Beregu lelaki:
Mark Lamfuss-Marvin Seidel (GER) kalahkan Tan Kiang Meng-Tan Wee Kiong 21-18, 21-15
Beregu wanita:
Alexandra Boje-Mette Poulsen (DEN) kalahkan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien 21-12, 21-14
-- BERNAMA
#Terbuka Perancis #badminton #Chan Peng Soon-Goh Liu Ying #India