"Pengalaman mendewasakan saya," itu pengakuan pemain tengah negara Safiq Rahim setelah berada di kemuncak prestasi dalam kerjayanya kini.

Safiq cemerlang membantu Malaysia meraih kejayaan di Sukan Sea 2009 dan Piala AFF Suzuki 2010.

Namun, dia mengharungi aksi tidak konsisten ketika musim pertamanya bersama Johor Darul Takzim pada 2013.

Bangkit memperbaiki segala kelemahan, prestasi Safiq kini kian meningkat sejak bergelar bapa September tahun lalu.

Safiq turut mencatat sejarah peribadi apabila muncul penjaring terbanyak pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2014.

Untuk aksi persahabatan menentang Oman pada Khamis, pemain berasal dari Kuala Selangor ini menyifatkan ia sebagai pendedahan berguna kepada pemain-pemain negara.

Perlawanan persahabatan Oman dan Malaysia ini akan disiarkan secara lansung di Astro Arena jam 10 malam.