PETALING JAYA: Calon bagi menggantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan dijangka diputuskan selepas menerima laporan daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata badan siasatan diketuai bekas pemain kebangsaan Datuk Dell Akbar Khan itu sedang giat melakukan siasatan mengenai punca kegagalan skuad kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura, bulan lepas.

Mohd Yusoff berkata beliau selaku pengurus pasukan dan kapten Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak adalah antara individu diminta hadir untuk sesi memberi keterangan bagi melengkapkan laporan tersebut.

"Jadi kita tunggu dulu apa maklum balas daripada laporan bedah siasat ini yang saya jangka selesai minggu depan, dari situ mungkin kita boleh tentukan calon sesuai," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis undian Liga M3 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata pada masa ini, beberapa calon menunjukkan minat untuk jawatan tersebut, selain yakin Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin juga berada dalam proses mengenal pasti jurulatih sesuai.

Beliau berkata FAM akan meneliti segala kemungkinan susulan ada pihak berpendapat jurulatih tempatan lebih sesuai kerana waktu sangat singkat untuk hadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, manakala ada beranggapan jurulatih asing lebih baik bagi memastikan pelan jangka panjang lebih tersusun.

"Semua cadangan ini akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan pada bulan ini yang dipengerusikan Datuk Hamidin sendiri. Selepas itu akan 'diendorse' (disokong) dalam Mesyuarat Exco untuk memastikan pilihan yang terbaik supaya perancangan kita ini akan dilaksanakan dengan lebih tersusun.

"Memang saya ada dengar terdapat beberapa calon yang memohon, tetapi pada masa sama ada juga senarai jurulatih (yang tidak mohon) berada dalam radar FAM," jelasnya.

Pengganti Cheng Hoe | Bakal diumum selepas laporan Badan Siasatan Bebas

Ditanya mengenai nasib barisan kejurulatihan yang berkhidmat di bawah Cheng Hoe, Mohd Yusoff berkata FAM akan memberi kebebasan untuk ketua jurulatih baharu untuk memutuskan sama ada terus menggunakan khidmat barisan sedia ada atau melantik pasukan kejurulatihannya sendiri.

Malaysia gagal mara ke separuh akhir di Singapura selepas menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan B, selepas mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja (3-1) dan Laos (4-0), namun tewas baki perlawanan selepas itu kepada Vietnam (0-3) dan Indonesia (1-4), sekali gus gagal mencapai sasaran FAM untuk mara ke final.

Berikutan itu, Cheng Hoe meletak jawatan dengan mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kurang memuaskan pasukan Harimau Malaya.

FAM kemudian melantik Dell Akbar yang juga bekas Setiausaha Agung badan induk itu dan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur untuk mengetuai badan siasatan bebas tersebut.

-- BERNAMA