LONDON: Antonio Conte secara sah dilantik sebagai pengurus baharu kelab Tottenham Hotspur sehingga musim panas 2023.

Pengurus kelahiran Itali itu menggantikan Nuno Espirito Santo selepas 17 perlawanan dalam musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menempatkan Spurs di tempat kelapan.

Jelas Conte, dia cukup teruja untuk kembali melatih dan melakukannya di kelab EPL yang mempunyai potensi untuk menjadi watak protagonis semula dalam EPL.

“Saya tidak sabar untuk mula bekerja untuk menyampaikan kepada pasukan dan peminat semangat, mentaliti dan keazaman yang sentiasa membezakan saya, sebagai pemain dan sebagai jurulatih,” jelas Conte dalam satu kenyataan.

Menurut Tottenham, kelab itu mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak bersama Conte yang berusia 52 tahun itu sehingga 2023.

Kepulangan Conte ke London pastinya mewarnai semula saingan di EPL kerana prestasinya yang terbukti luar biasa diiringi rekod kejayaan dengan kelab bimbingannya.

Conte sebelum ini telah melakar rekod cemerlang sewaktu menjadi pengurus Chelsea pada musim 2016-2017 sekali gus menjuarai liga tersebut dan Piala FA.

Pada 2019, dia berpindah ke Itali dan mengemudi Inter Milan dan berjaya menjulang kejuaraan pertama Serie A buat Nerazzurri dalam tempoh 11 tahun sebelum meninggalkan kelab gergasi Itali itu pada Mei lepas.

Selain Spurs, Manchester United yang dilihat agak goyah di bawah kepimpinan Ole Gunnar Solksjaer turut memburu dan memerhatikan Conte untuk dijadikan pengurus.