Seorang peminat pasukan Johor Darul Takzim (JDT) warga Malaysia hari ini dihukum penjara seminggu oleh mahkamah di Singapura selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh di luar Stadium Jalan Besar, lapor laman web The Strait Times.

Dalam kejadian pada 20 Mei lalu, Mohamed Kamil Kamal Basha, 27, didakwa merempuh garisan polis dan meninggikan suara kepada pegawai keselamatan.

Dia dikatakan berkeras biarpun diberikan amaran supaya berundur. Dia mendakwa mahu membantu rakan-rakannya yang bertindak ganas selepas tidak dibenarkan masuk ke stadium semasa perlawanan JDT menentang Singapore Lions XII.

Mereka dilaporkan membeli tiket yang diperuntukkan untuk penyokong Singapura daripada seorang lelaki yang menjualnya melalui Internet.

Mohamed Kamil sebelum ini mengaku tidak bersalah dan dikenakan ikat jamin. Sepanjang tempoh itu, dia dilaporkan menetap di rumah saudaranya di republik itu.

Dia adalah antara lima penyokong JDT yang ditahan oleh polis Singapura selepas kekecohan di luar Stadium Jalan Besar pada 20 Mei lepas. Empat yang lain sudah menjalani hukuman penjara tujuh hari selepas mengaku salah di mahkamah pada 31 Mei lepas.

Dalam kes itu, pihak pendakwaan mendesak mahkamah mengenakan hukuman penjara kerana tindakan mereka yang mungkin boleh menyerang orang lain serta sikap degil enggan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Pihak pendakwaan juga meminta mahkamah menimbangkan kejadian rusuhan di Little India pada Disember tahun lalu dan berhujah kejadian sama mungkin boleh berulang dalam kes ini.

Pemuda UMNO Johor sebelum ini dilaporkan berhasrat membantu menanggung kos saraan dan kos guaman Mohamed Kamil manakala Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) memberikan bantuan dari sudut perundangan.