KUALA LUMPUR: Perak FC terus dirundum malang apabila merngalami kekalahan keempat berturut-turut, kali ini 1-0 di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada malam Isnin.

Kedua-dua pasukan bermula seimbang mengatur gerak dalam usaha memburu jaringan namun gagal memecah kebuntuan pada minit awal perlawanan.

Skuad City Boys kemudian mendahului The Bos Gaurus pada hujung babak pertama menerusi jaringan tunggal Sebastian Avanzini yang menanduk masuk bola ke gawang pihak lawan selepas menerima hantaran pemain naturalisasi Paulo Josue yang menerima sepakan percuma daripada pengadil.

Babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan cuba menokok jaringan dalam usaha mengutip tiga mata berharga namun ianya berakhir dengan kebuntuan dan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat ditiup.

Kemenangan yang diraih anak buah Bojan Hodak itu memberi kelebihan kepada mereka untuk mendaki dua anak tangga kepada kedudukan kelapan liga selepas menerima tiga mata.

Sementara itu, perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang menyaksikan pasukan Sri Pahang FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan United FC.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha memburu jaringan namun gagal memecah kebuntuan.

Bersambung babak kedua, skuad tuan rumah dilihat menggandakan usaha melancarkan serangan ke arah kubu lawan untuk memecah kebuntuan tanpa gol perlawanan namun hanya membuahkan hasil pada minit kecederaan menerusi Stefano Brundo yang menerima hantaran rakan sepasukan Nor Azam Azih

Keputusan 1-0 yang berpihak kepada Sri Pahang kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus meletakkan pasukan itu naik di tangga ketiga liga.

Di Seremban, Sabah terpaksa akur berkongsi mata bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) selepas seri 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kedua-dua pasukan dilihat saling mengasak dan berbalas serangan namun tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan melalui sepakan percuma yang diambil Tommy Mawar Mada pada minit ke-20.

Memasuki babak kedua perlawanan, Sabah FC yang terus menggandakan usaha dengan beberapa percubaan dilakukan di hadapan gawang gol tuan rumah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan kencang Park Tae-su pada minit ke-75.

-- BERNAMA