Jika semalam kita menyaksikan aksi serang menyerang di antara dua pasukan, Brazil dan Chile, malam ini pula kita bakal menyaksikan pertembungan di antara dua pasukan dengan gaya taktikal dalam Piala Dunia 2014 ini.

Perlawanan pusingan kedua di antara Belanda dan Mexico yang akan berlangsung jam 12 malam nanti akan menjadi penentu pasukan manakah yang akan mara ke suku akhir nanti.

Belanda yang terkenal dengan benteng pertahanan ‘lima orang’ itu telah berjaya menewaskan Chile 2-0 pada perlawanan akhir Kumpulan B baru-baru ini.

Namun, Mexico juga telah mempamerkan kekuatan benteng pertahanan mereka apabila berjaya mengikat Brazil yang agresif itu dengan 0-0.

Mereka menamatkan pusingan pertama dengan hanya melepaskan satu gol sahaja.

Meskipun begitu, ternyata benteng mereka malam ini akan diuji oleh pasukan Oranje dengan kembalinya Robin Van Persie, dan juga Arjen Robben.

Bagaimanapun pasukan El Tri yakin akan tetap mara ke peringkat seterusnya.

Perlawanan malam ini dijangka akan melihat kedua-dua pasukan mempertahankan kubu masing-masing yang mungkin akan membawa perlawanan ke masa tambahan ataupun penalti.

Sementara itu, satu lagi perlawanan pusingan kedua yang akan menjadi penentu ke suku akhir, bakal berlangsung jam 4 pagi nanti iaitu di antara Costa Rica dengan Greece.

Ini merupakan pertemuan pertama di antara kedua-dua pasukan.

Jika dilihat dari persembahan Greece sepanjang pusingan pertama, peluang untuk menguasai permainan lebih tertumpu kepada Costa Rica.

Greece meskipun telah membina reputasi pasukan yang sukar ditembusi, dijangka tidak akan dapat menahan asakan dan serangan daripada pasukan Costa Rica.

Costa Rica juga yakin bahawa mereka mampu menjaringkan gol terlebih dahulu pada minit awal perlawanan malam nanti.

Keputusan perlawanan dijangka akan memihak kepada Costa Rica.