SEPANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan untuk menjual 5,700 unit model Perodua Axia serba baharu yang diberi nama kod D74A setiap bulan.

Syarikat pengeluar automotif itu telah menerima tempahan sebanyak 3,591 unit untuk D74A yang akan dilancarkan pada 14 Feb ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, varian 'SE' dan 'AV' adalah yang paling popular berbanding varian 'G' dan 'X' sejak tempahan mula dibuka pada 31 Jan.

"Kami menjangkakan sambutan yang menggalakkan untuk varian 'SE' dan 'AV' berbanding varian 'G' dan 'X' kerana saya rasa pengguna Malaysia amat menghargai teknologi dan juga cadangan nilai yang kami sediakan untuk model ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi pandu uji D74A hari ini, Zainal berkata, julat harga tentatif bagi model itu di Semenanjung Malaysia tanpa insurans adalah di antara RM38,600 dan RM49,500 seunit.

Sementara itu, Perodua dalam satu kenyataan berkata, jualan bagi bulan Januari 2023 melonjak 23 peratus kepada 21,449 unit yang didaftarkan berbanding 17,444 unit bagi bulan yang sama tahun lepas.

Dari segi pengeluaran pula, Perodua menghasilkan 24,590 unit pada Januari tahun ini, meningkat 40.2 peratus daripada 17,538 unit yang dikeluarkan pada Januari 2022.

Bagi 2023, Perodua menyasarkan untuk mendaftar sebanyak 314,000 unit dan mengeluarkan 330,000 unit kenderaan.

Zainal berkata, adalah penting untuk memaklumkan bahawa pada Januari 2022, berlakunya banjir, kekurangan bekalan cip semikonduktor yang teruk, isu tenaga kerja dan kekurangan alat ganti lain - yang menghalang pengeluaran dan jualan.

"Namun demikian, peningkatan dalam volum bagi kedua-dua pengeluaran dan jualan telah menunjukkan bahawa ekosistem sedang berjalan seperti yang dirancang," katanya.

Zainal berkata, Perodua kekal komited kepada matlamatnya untuk menghantar kenderaan kepada pelanggan Perodua secepat mungkin tanpa menjejaskan kualiti atau keselamatan. - BERNAMA