Walaupun tidak akan lagi beraksi kerana kecederaan, Neymar masih lagi percaya Brazil mampu menjulang Piala Dunia buat kali ke enam.

Neymar mengakui hatinya musnah apabila mengetahui dirinya tidak dapat lagi beraksi di kejohanan itu selepas mengalami keretakan tulang belakang ketika menentang Colombia.

Walaubagaimanapun, pemain Barcelona itu menegaskan skuad kendalian Luiz Felipe Scolari akan bermain habis-habisan walaupun ketiadaannya.

"Impian saya belum berakhir, ia cuma tertangguh akibat insiden itu," ujar Neymar merujuk kepada pertembungan dengan Juan Camilo Zuniga.

"Saya pasti rakan sepasukan akan memastikan impian saya tercapai, untuk menjadi juara."

Pemain berusia 22 tahun telah berjaya menjaringkan empat gol untuk Brazil dan berjaya membawa mereka ke pusingan separuh akhir.

Neymar telah membuat pesanan video kepada penyokong dan pemain Brazil supaya terus berjuang sehingga akhir.

"Penduduk Brazil, pemain, jurulatih dan penyokong - ini merupakan waktu yang sukar buat kita semua."

"Sukar untuk saya mengolah dengan kata."

"Saya mahu memberitahu saya akan kembali di padang secepat yang mungkin, saya ingin mengucap terima kasih atas sokongan anda semua supaya cepat sembuh."