Selangor berpesta gol di Shah Alam apabila membenam pasukan yang dibarisi pemain bintang, Johor Darul Takzim dengan empat gol berbalas satu di saingan bola sepak Liga Super.

Lebih manis, ia menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan The Red Giants, musim ini.

Dibanjiri ribuan penyokong di Stadium Shah Alam, tuan rumah Selangor membuat kejutan di awal permainan.

Minit keempat, penjaga gol skuad Harimau Selatan Zamir Selamat terpedaya dengan bola percubaan S. Kunanlan.

Rentak garang tuan rumah berterusan apabila Francis Forkey Doe menyumbat gol kedua, pada minit ke-32.

Ketinggalan 0-2 pada babak pertama, pelawat bimbingan lagenda Singapura Fandi Ahmad itu bangkit pada babak berikutnya.

Meskipun melakukan beberapa pertukaran termasuk beraksi dengan kelebihan seorang pemain selepas pertahanan selangor Peter Chrappan dilayangkan kad merah pasukan Johor Darul Takzim tetap buntu menghasilkan jaringan.

Sebaliknya, Gergasi Merah Kuning cemerlang melebarkan kedudukan menerusi penyudah menarik Mahali Jasuli, pada minit ke-66.

Dua minit kemudian, giliran pemain pengalaman Amri Yahyah pula mencetak nama selaku penjaring Selangor.

Minit ke-74, pelawat bangkit merapat jurang menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha, namun nyata ia sudah terlewat untuk menafikan kemenangan bergaya Selangor.