PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan bahawa Tajikistan sah akan menggantikan Lubnan bagi saingan Pestabola Merdeka pada Oktober depan.

Sebelum ini, undian Pestabola Merdeka pada 8 Ogos lalu menyaksikan Harimau Malaya diundi untuk berdepan India manakala Palestin dan Lubnan pula akan bertemu dalam satu lagi perlawanan pada 13 Oktober depan.

Bagaimanapun, FAM pada Isnin lalu telah menerima surat rasmi daripada Persatuan Bolasepak Lubnan (LFA) yang memaklumkan bahawa mereka terpaksa manarik diri daripada kejohanan itu memandangkan Lubnan dan Palestin diundi dalam kumpulan yang sama bagi saingan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November depan.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, dalam satu kenyataan hari ini berkata: "FAM mengambil langkah proaktif dengan segera menghubungi beberapa pasukan baru sebagai pengganti supaya perjalanan pertandingan tersebut, yang telah ditetapkan untuk disertai oleh empat pasukan dengan dua hari perlawanan iaitu pada 13 dan 17 Oktober ini, tidak terjejas.

"Sehari kemudian, iaitu pada Selasa, 15 Ogos 2023, FAM telah berjaya mendapatkan pengesahan daripada Persekutuan Bolasepak Tajikistan (TFF) untuk pasukan kebangsaan Tajikistan, yang kini berada di ranking ke-110 dunia, menggantikan slot yang ditinggalkan oleh pasukan Lubnan itu.

"Biarpun dengan perubahan terbaru ini, susunan jadual perlawanan berdasarkan ketetapan majlis undian sebelum ini akan dikekalkan iaitu Malaysia bertemu India manakala Palestin kini akan menentang Tajikistan." -- Stadium Astro