PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) dilaporkan akan menamatkan kerjasama dengan pasukan Mercedes-AMG Formula 1 menjelang akhir musim 2021 yang telah terjalin sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurut laporan The Edge Markets yang memetik portal Decalspotters, pasukan Mercedes-AMG yang kini mendahului carta musim ini dengan kutipan sebanyak 433.5 mata akan diambil oleh syarikat petroleum Saudi Arabia (Aramco) bermula tahun 2022.

“Kerjasama pasukan (Mercedes-AMG Formula 1) dengan Aramco akan bermula pada 2022, dengan jentera yang kini berwarna hijau Petronas akan diganti dengan wajah baharu hijau dan biru yang melambangkan logo Aramco.

“Bukan sesuatu yang mengejutkan untuk Petronas kembali menilai usaha pemasarannya di F1 dan mengambil langkah penjimatan kos, setelah ekonomi terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” jelas portal berkenaan.

BACA: F1: Lewis Hamilton raih kemenangan ke-100 

BACA: F1: Hamilton nafi 'berang' dengan pasukan Mercedes 

Bagaimanapun, setakat ini Petronas masih belum memberi sebarang kenyataan rasmi berkaitan laporan status penajaan pasukan tersebut.

Namun, jika ia benar-benar berlaku, Petronas tidak lagi akan menjadi penaja besar bagi pasukan Mercedes yang kini mendukung pelumba terkenal Lewis Hamilton dan Valteri Bottas.

BACA: SIC dan Petronas tamatkan kerjasama penghujung saingan MotoGP musim 2021 

Sebelum ini, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Petronas memutuskan untuk menamatkan kerjasama membabitkan perkongsian hak dalam pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) pada penghujung saingan kejuaraan dunia Motosikal Grand Prix (MotoGP) musim 2021.

Penamatan kerjasama itu menyaksikan Petronas turut menamatkan kerjasama dengan Petronas Sprinta Racing dalam saingan Moto2 dan Moto3 sejak 2018 sebelum kerjasama berkenaan berkembang hingga saingan MotoGP menerusi Petronas Yamaha Sepang Racing Team (PYSRT).