Dollah Salleh akui berdepan tugas sukar berdepan Thailand namun yakin kelebihan bermain dilaman sendiri akan membawa perbezaan dengan kehadiran pemain ke-12 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam nanti.

"Mana-mana pasukan pun akan hadapi kesukaran berdepan dengan Thailand kerana mereka punyai corak permainan mereka yang pantas, pemain mereka punyai skil serta stamina yang tinggi," katanya ketika diajukan soalan di sidang media yang diadakan di Hotel Hilton, Petaling Jaya semalam.

"Tapi kami perlu buktikan sesuatu kepada penyokong Harimau Malaya seperti yang dilakukan ketika berdepan Vietnam," katanya lagi.

Pengendali Harimau Malaya itu mengharapkan penyokong akan memberikan sokongan tanpa henti sehingga tiupan wisel penamat dibunyikan .

"Sokongan mereka amat diperlukan kerana ia mampu menjana pemain untuk memberi aksi yang lebih bersemangat," kata Dollah.

Menariknya Dollah juga menyatakan keyakinan mampu merencanakan tonik terbaik untuk menghalang segala percaturan oleh jurulatih Thailand Kiatisuk Senamuang atau lebih dikenali sebagai Zico itu.

Bagi Thailand pula, mereka bakal bertandang ke Bukit Jalil dengan bekalan selesa selepas meledak dua gol di laman sendiri namun pengendali skuad Gajah Perang itu menegaskan mereka akan terus mengekalkan corak serangan.

"Kami mahu menunjukkan kemampuan kami disamping membuktikan bola sepak ASEAN tidak membosankan malah sedang meningkat naik," kata bekas penyerang Thailand itu.

Namun akui pemainnya sentiasa berdepan tekanan ketika turun menentang Harimau Malaya.

"Mereka juga seperti pemain lain namun saya sentiasa mengingatkan mereka untuk belajar bermain dibawah tekanan kerana ia mampu menjadi pemangkin kemenangan," katanya.

Hadir bersama jurulatih Gajah Perang itu adalah penyerang yang memakai jersi no.9 Adisak Kraisorn.

Saksikan perlawanan akhir kedua menerusi Fox Sports dan Fox Sports 3 pada 20 Disember ini jam 8 malam. -- Astro Arena