KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Indonesia Shin Tae-yong menganggap Malaysia adalah pasukan yang lebih baik tetapi beliau merasakan Skuad Garuda mampu mencapai keputusan yang positif pada aksi penting Kumpulan B di Stadium Nasional, Singapura esok.

Bagaimanapun, jurulatih dari Korea Selatan itu optimis keputusan pertembungan nekad antara kedua-dua negara itu akan memihak kepada pasukannya dan membolehkan Indonesia layak ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2016.

Tae-yong berkata anak buahnya kini lebih berkeyakinan selepas tidak pernah tewas dalam tiga perlawanan kumpulan termasuk seri dengan juara bertahan Vietnam baru-baru ini dan akan akan bermain dengan mental yang lebih kuat daripada Malaysia dalam perlawanan itu.

Bahkan, beliau berkata pemain Indonesia juga sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan apabila berhadapan Skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Ketua Jurulatihnya Tan Cheng Hoe.

"Sedikit demi sedikit keyakinan diri pemain meningkat, kalau kita kekalkan prestasi terbaik ini pasti dapat hasil yang baik lawan Malaysia, pasukan yang lebih baik daripada kita," kata beliau menerusi seorang penterjemah pada sidang media maya pasca perlawanan di Singapura hari ini.

"Memang (juga) banyak yang bicara (kata) Indonesia paling unggul dalam kumpulan tetapi kita tidak tahu bagaimana situasi pertandingan bisa (boleh) berubah...jadi kalau mental diperkuat saja pasti bisa (boleh) dapat hasil yang baik lawan Malaysia," kata bekas pemain kebangsaan Korea Selatan itu.

Indonesia yang kini mendahului Kumpulan B dengan tujuh mata, hanya perlu seri dengan Malaysia yang kini di kedudukan ketiga kumpulan dengan enam mata untuk menempah satu daripada dua slot pasukan teratas kumpulan ke separuh akhir.

Sementara Vietnam di tangga kedua kumpulan dengan tujuh mata dijangka mengutip tiga mata apabila menentang Kemboja dalam aksi terakhir kumpulan esok lantas menempah tempat ke pusingan kalah mati seterusnya.

"Memang kami seri aja bisa (boleh) naik dan bisa (boleh) lolos (mara) ke separuh akhir tapi pastinya Malaysia punya kelebihan dan kelemahan, jadi kami akan menganalisis strategi lawan seperti apa dan akan bawa sistem yang sesuai dengan cara permainan mereka," kata Tae-yong.

Pada masa sama, beliau juga mengesahkan hampir semua pemainnya bebas daripada kecederaan serius untuk perlawanan esok, termasuk ketua pasukan Evan Dimas Darmono dan bek Elkan Baggott.

-- BERNAMA