KUALA LUMPUR: Kejayaan mengalahkan Laos dengan lima gol pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN 2022 (AFF), membuktikan bahawa Harimau Malaya sebuah pasukan berkualiti tinggi.

Selepas menewaskan Kemboja 1-0 pada perlawanan pertama mereka pada Rabu, Ketua Jurulatih Bola Sepak Kebangsaan Kim Pan Gon berkata beliau dapat merasakan keinginan anak buahnya untuk menjaringkan sebanyak gol yang mereka mahukan, pada perlawanan yang berlangsung di hadapan 29,961 peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Kami berhadapan dengan keadaan sukar pada separuh masa pertama kerana Laos bermain dengan baik dan tidak memberikan kami banyak ruang untuk menjaringkan gol. Ketika rehat separuh masa, saya menggalakkan pemain untuk menunjukkan lebih usaha dan melihat kepada potensi mereka.

"Kami tidak boleh hilang peluang yang diperolehi kerana kadang-kala ia suatu yang sukar didapati. Saya gembira pemain saya berikan reaksi yang bagus (separuh masa kedua) dan mereka tunjukkannya kerana mereka itu pemain yang bagus, tetapi saya rasa kita sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol," katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Ketika ditanya sama ada momentum yang sama dapat dibawa ketika bertemu juara dua kali Vietnam pada perlawanan seterusnya di Hanoi, jurulatih dari Korea Selatan itu hanya menyatakan: "kami bercadang untuk menyerang mereka".

Jurulatih berusia 53 tahun itu juga memuji pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee, selepas beliau mahu duduk di bangku simpanan walaupun masih dalam dalam pemulihan, selepas cedera ketika perlawanan bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon.

“Beliau bersedia untuk duduk dibangku simpanan untuk memberikan sokongan pada rakan sepasukan, itu satu semangat berpasukan yang terbaik. Diharapkan beliau akan cepat sembuh, dengan pasukan perubatan kami berusaha sebaiknya untuk merawat beliau,” katanya.

BACA: Piala AFF: Harimau Malaya mudah 'ratah' Laos 5-0 

Pan Gon juga gembira dengan sokongan yang bertenaga daripada peminat tempatan dan berterima kasih kerana kehadiran yang ramai pada perlawanan di Bukit Jalil.

Dalam pada itu, pemain tengah Brendan Gan berkata beliau gembira untuk bersama dalam perlawanan itu, walaupun hanya masuk bagi mengantikan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi pada separuh masa kedua dan bermain sebagai pertahanan tengah oleh Pan Gon.

“Saya rasa pasukan kejurulatihan telah menilai kesemua pemain, mereka tahu kekuatan dan kelemahan kami, jadi jika jurulatih mahukan kami bermain di posisi tertentu, kami perlu yakin untuk melakukannya,” katanya yang mahukan rakan sepasukan memberikan permainan terbaik ketika menentang Vietnam.

Sementara itu Ketua Jurulatih Laos Michael Weiss, mengakui yang pemainnya tidak dapat menyaingi permainan pantas yang ditunjukkan Malaysia terutamanya pada separuh masa kedua, yang menyebabkan mereka melakukan kesilapan dan membenarkan pasukan tuan rumah menjaringkan empat lagi gol selepas hanya melepaskan satu gol pada separuh masa pertama.

“Tahniah Malaysia atas kemenangan itu. Kami perlu lupakannya, dan bersedia semula untuk berhadapan perlawanan seterusnya menetang Singapura, selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA