KUALA LUMPUR: Misi memburu tiga mata pertama dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2020 berhasil apabila skuad Harimau Malaya berjaya membenam pihak lawan, Kemboja.

Ia selepas skuad kendalian Tan Cheng Hoe menumpaskan pihak lawan 3-1 dengan aksi yang cukup meyakinkan di Stadium Bishan, Sigapura sebentar tadi.

Gol yang diharapkan Harimau Malaya tiba pada minit ke-22 selepas pasukan negara dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Safawi Rasid.

Separuh masa kedua berlangsung dengan lebih kemas apabila Akhyar Rashid membuahkan satu lagi gol pada minit ke-61.

Dengan mengekalkan corak permainan serangan, skuad tanah air menghadiahkan gol ketiga pada minit ke-78, hasil jaringan Kogileswaran Raj.

Bagaimanapun, skuad Kemboja tidak menamatkan perlawanan dengan tiada sebarang gol, selepas hasil jaringan penalti pada minit ke-90 oleh Sath Rosib.

Perjalanan Harimau Malaya diteruskan dengan pertemuan di antara Laos pada 9 disember dan dua lagi musuh kuat, Vietnam dan Indonesia pada 12 dan 19 Disember.