DOHA: Menjelang perlawanan akhir menentang Argentina pada saingan Piala Dunia 2022 esok, beberapa pemain pasukan Perancis dikhabarkan dijangkiti selesema sejak semalam.

Menurut Persatuan Bola Sepak Perancis, antara pemain yang jatuh sakit adalah Raphael Varane, Ibrahima Konate, Dayot Upamecano dan Adrien Rabiot.

Jurulatih Didier Deschamps memaklumkan dia tidak panik dengan situasi itu namun meminta para pemainnya berhati-hati dalam memastikan penyakit itu tidak merebak.

Penyerang Randal Kolo Muani, yang turun dari bangku simpanan menjaringkan gol kedua Perancis dalam kemenangan menentang Maghribi di separuh akhir memberitahu dia juga mengalami selesema.

"Ada sedikit selesema yang merebak tetapi tiada apa-apa yang serius, akan sembuh tidak lama lagi dan bersedia untuk Ahad (esok).

“Mereka yang sakit tinggal di bilik, mereka dijaga oleh doktor dan kami telah melaksanakan penjarakan sosial. Kami sangat tegas mengenainya," katanya.

Salah seorang pegawai akhbar pasukan Perancis memaklumkan pihaknya akan memaklumkan sebarang maklumat terkini mengenai hal ini.

“Seperti yang anda tahu, Randal bukan seorang doktor, kami akan berkomunikasi mengenainya nanti,” katanya. 

Tambah penyerang, Ousmane Dembele, mereka tidak khuatir dengan virus itu manakala Dayot dan Adrien mengalami sedikit sakit perut.

“Saya membuatkan mereka teh halia dan madu dan kemudian mereka rasa lebih baik. Saya berharap semua orang akan bersedia untuk perlawanan akhir,” katanya.

Perancis layak beraksi di pentas perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022 menentang pasukan Argentina, esok.