SEBUAH syarikat yang berpangkalan di Singapura, Certis Group diberi tanggungjawab menguruskan keselamatan pada Piala Dunia edisi kali ini, yang pertama kali diadakan di Asia Barat.

Dengan jumlah penonton yang besar, usaha keselamatan menumpukan pada usaha mencegah semua bentuk ancaman.

Ia pastinya langkah terbaik selepas tragedi di Itaewon, Korea Selatan dan insiden di Stadium Kanjuruhan, Indonesia.

Certis Group telah bekerjasama dengan syarikat tempatan Group Security System, dan menempatkan kira-kira 3,500 anggota keselamatan bagi mengawasi kira-kira 1.2 juta penonton yang dijangka membanjiri negara itu.

Ignacio Raul Bertoia, ketua pengawal Sistem Keselamatan Kumpulan Certis International, berkata antara yang dijangka akan berlaku ialah percubaan pelanggaran keselamatan, seperti peminat menceroboh padang.

"Tugas kami adalah cuba membaca situasi sebelum ia berlaku. Terdapat jenis tingkah laku tertentu dalam kalangan orang ramai yang, jika anda bersedia, anda boleh menjangkakan ancaman yang akan berlaku," katanya.

Kemudahan latihan juga merupakan kawasan yang perlu diawasi, memandangkan peminat mungkin berkumpul untuk melihat bintang bola sepak kegemaran mereka di hadapan mata.

Isu keselamatan sangat dititikberatkan, dengan penghadang disediakan untuk menghalang peminat daripada mengganggu sesi latihan. Turut bersedia ialah kira-kira 100 pegawai di kawasan itu.

Operasi keselamatan berskala besar juga memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kecekapan.

Sistem digital yang dipanggil Optimax menjejaki pergerakan dan tugas pegawai yang bertugas, dan pusat kawalan boleh berkomunikasi dengan semua pegawai dengan hanya butang.