PARIS: Lebih 120 orang ditahan susulan "keganasan perkauman" di Paris dan beberapa bandar lain selepas Perancis memenangi perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2022 dengen mengetepikan Maghribi pada Rabu.

Kira-kira 10,000 pegawai polis dikerah di seluruh Perancis ekoran kebimbangan kemungkinan berlaku rusuhan termasuk 5,000 anggota ditempatkan di kota Paris dan kawasan sekitarnya, lapor Agensi Anadolu.

Penyokong Maghribi berdepan serangan secara lisan dan fizikal daripada beberapa kumpulan ketika meraikan kemenangan Perancis itu.

Sekurang-kurangnya 115 orang ditahan di kota Paris dan kawasan sekitarnya, lapor media tempatan.

Keganasan turut dilaporkan berlaku di bandar utama lain seperti Lyon, Nice dan Montpellier.

Kelihatan gas pemedih mata dilepaskan berdekatan Arc de Triomphe dan jalan Champs Elysees di Paris ketika penyokong Perancis meraikan kemenangan pasukan negara dalam separuh akhir Piala Dunia, 14 Dis 2022. (Foto AP)

Ahli Parlimen Perancis Thomas Portes mengutuk "serangan yang dirancang" dan "keganasan perkauman" itu.

"Kita hampir dengan tragedi. Kita mesti bertindak," tulisnya di Twitter.

Seorang lagi Ahli Parlimen Antoine Leaument berkata: "Tindakan bersifat perkauman adalah jenayah dan menyeru agar pelaku dihukum mengikut undang-undang Perancis."

-- BERNAMA