KANADA tersingkir saingan pusingan 16 terbaik Piala Dunia selepas tewas 1-4 perlawanan kedua Kumpulan F menentang Croatia di Stadium Antarabangsa Khalifa, Al Rayyan.

Skuad kendalian John Herdman sebelum ini tewas 0-1 kepada Belgium dalam perlawanan pertama di Stadium Ahmed bin Ali pada 24 November lalu.

Bagaimanapun pada perlawanan berdepan finalis edisi Rusia 2018 itu, Kanada terlebih dulu bermula garang apabila mendahului hasil jaringan pemain kelab Bundesliga Jerman, Bayern Munich, Alphonso Davies pada minit kedua.

Croatia yang tersentak dengan jaringan itu kembali bangkit dengan empat gol kemudiannya dengan gol pemain kelab Bundesliga Jerman, 1899 Hoffenheim, Andrej Kramarić (36', 70').

Bintang kelab liga Croatia, Hadjuk Split, Marko Livaja turut menyumbang gol pada minit ke-44' bagi melebarkan jaringan kedudukan pendahulu pasukan.

Sebelum pemain kelab Ligue 1 Perancis Rennes, Lovro Majer menoktahkan kebangkitan Croatia dengan gol minit ke-94' untuk kemenangan 4-1.

Keputusan itu menyaksikan anak buah Zlatko Dalić mengumpul empat mata sambil diekori rapat Maghribi yang memiliki mata sama diikuti Belgium (tiga mata) dan Kanada tanpa sebarang mata.

Untuk rekod Croatia menyingkap cabaran kumpulan terikat tanpa jaringan berdepan Maghribi 0-0 di Stadium Al Bayt pada 23 November lalu. - Sinar Harian