HANSI Flick akan kekal sebagai ketua jurulatih Jerman sehingga Euro 2024, di sebalik kegagalan besarnya dalam kempen Piala Dunia Qatar, demikian keputusan selepas perbincangan yang dilakukan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB).

Bekas pengendali Bayern Munich itu mengambil alih jawatan Joachim Low selepas Euro 2020 dan ditugaskan untuk memulihkan prestasi pasukan kebangsaan berkenaan selepas dua kempen mengecewakan dalam kejohanan utama.

Bagaimanapun, sama seperti kempen di Russia pada 2018, Jerman sekali lagi tersingkir seawal peringkat kumpulan di Qatar, sekali gus menerbitkan persoalan mengenai hierarki tertinggi pasukan itu, yang mendorong kepada tersingkirnya pengarah teknikal, Oliver Bierhoff.

Masa depan Flick turut terancam selepas kegagalan itu tetapi sebaik mengadakan perbincangan dengan Presiden DFB, Bernd Neuendorf, dan naib presiden, Hans-Joachim Watzke, dia kini disahkan akan kekal bersama pasukan berkenaan.

"Saya dan staf kejurulatihan saya optimis mengenai Kejohanan Eropah di negara sendiri," kat Flick.

"Sebagai satu pasukan, kami boleh melakukan banyak lagi berbanding apa yang kami tunjukkan di Qatar. Kami terlepas peluang terbaik di sana.

"Kami akan mengambil pengajaran daripada perkara itu. Kami semua mahu seluruh Jerman sekali lagi berpadu di belakang pasukan kebangsaan apabila mengharungi Kejohanan Eropah di tempat sendiri pada 2024," katanya.