KEJAYAAN Argentina meraih gelaran juara Piala Dunia Qatar 2022 selepas menewaskan Perancis 4-2 setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 adalah sebagai ketentuan takdir.

Menjadi tunjang penting di atas kemenangan itu, penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez berkata, aksi final itu sangat rumit, namun takdir menentukan mereka menang.

Martinez, 30, menyelamatkan sepakan Kingsley Coman pada penentuan penalti bagi membantu Argentina mencatat kejuaraan ketiga selepas 1978 dan 1986.

Ia adalah perlawanan yang sangat rumit, mereka kembali untuk menyamakan kedudukan dalam permainan tetapi ia adalah takdir kami untuk meraih kejayaan," katanya.

Penjaga gol Aston Villa itu berkata, kejayaan tersebut tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana apa yang diimpikan menjadi kenyataan.

"Semua yang saya impikan telah tercapai. Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Saya tenang semasa penentuan sepakan penalti. Semuanya berjalan seperti yang kita mahu.

"Saya masih muda ketika ke England. Saya mendedikasikan kemenangan ini kepada seluruh ahli keluarga," ujar Martinez.

Aksi tangkas Martinez di gawang berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik. -Sinar Harian