KAPTEN Perancis, Hugo Lloris menyifatkan kekalahan final Piala Dunia 2022 kepada Argentina 2-4 dalam penentuan penalti sebagai kejam dan menyamakan perlawanan mendebarkan itu seperti pertandingan tinju.

Menurutnya, Argentina lebih bernasib baik kerana mampu tampil cemerlang di penentuan penalti berbanding pasukannya walaupun Perancis telah mempamerkan kebangkitan membanggakan dalam perlawanan tersebut.

"Seperti pertandingan tinju, kami berbalas pukulan, gol demi gol. Kami juga tidak berputus asa untuk bangkit.

"Perlawanan memerlukan pemenang dan ia ditentukan menerusi sepakan penalti. Ia sering kali kejam. Kami pulang tangan kosong," katanya.

Argentina menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas final di Stadium Lusail, Doha berakhir 3-3 selepas masa tambahan.

"Kami perlu mengucapkan tahniah kepada Argentina yang beraksi satu kejohanan hebat dan satu final hebat," katanya.

Dalam pada itu, Lloris menyifatkan berakhirnya Piala Dunia Qatar menandakan generasi baharu pasukan Perancis akan memacu pasukan yang sudah semestinya akan diletakkan di bahu penggempur sensasi mereka, Kylian Mbappe.

"Mbappe mempamerkan kepimpinan yang baik sepanjang kejohanan terutama pada final," katanya.

Penjaga gol berusia 36 tahun itu juga masih berfikir mengenai masa depannya selepas melakukan penampilan terbanyak Perancis dengan 145 perlawanan dalam perlawanan akhir tersebut.

"Seperti orang lain, saya perlu berehat seketika, untuk melihat perspektif mengenai beberapa perkara," katanya. - Sinar Harian