Maghribi menjadi pasukan negara Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar susulan kejayaan mengatasi Portugal 1-0 di Stadium Al Thumama.

Tema yang sama dalam pertembungan aksi kalah mati Piala Dunia, kedua-dua pasukan enggan mengambil risiko di permulaan saingan.

Maghribi menampilkan corak permainan yang penuh disiplin bagi menutup sebarang peluang Portugal menghasilkan peluang.

Selepas sekadar dibolosi satu gol dalam lapan perlawanan terakhir, pengendali pasukan, Walid Regragui, terpaksa melakukan pertukaran susulan ketiadaan khidmat Nayef Aguerd dan Noussair Mazraoui.

Pertahanan tengah, Jawad El Yamiq bertindak cemerlang dalam separuh masa pertama, menampan keluar percubaan Joao Felix.

Selepas berjaya menyerap tekanan Portugal hampir di seluruh separuh masa pertama, Atlas Lions mula mengorak langkah, penjaga gol Portugal, Diogo Costa, gagal membaca gerakan hantaran silang Yahia Attiyat Allah, membenarkan Youssef En-Nesyri menanduk masuk bola menembusi gawang.

Skuad kendalian Fernando Santos kini perlu mencari jalan menembusi benteng pertahanan terbaik kejohanan untuk kembali mengikat perlawanan, Bruno Fernandes hampir mendapatkan jaringan penyamaan namun percubaan sekadar melepasi palang gol.

Ketika mereka makin buntu mendapatkan jaringan, Santos akhirnya menurunkan kapten pasukan, Cristiano Ronaldo.

Walaupun dengan kehadiran Ronaldo di atas padang, Fernandes kekal terbukti sebagai penyerang paling berbisa buat Portugal apabila pemain tengah Manchester United sekali lagi hampir mendapatkan gol penyamaan namun percubaan sekali lagi meliar melepasi palang gol.

Selepas tamat perlawanan, seluruh stadium bersorak menggamatkan stadium, aksi cemerlang Atlas Lions menyaksikan mereka mencipta sejarah menjadi negara Arab pertama dan dari rantau Afrika untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Portugal adalah mangsa terbaru mereka, dan mereka kini gagal ke separuh akhir untuk penampilan keempat berturut-turut.

Dengan pemain veteran Ronaldo dan Pepe dalam senja kerjaya mereka, era baharu kini pasti menanti pemenang Euro 2016.