Lionel Messi hanya manusia dan boleh gagal dalam sepakan penalti, kata penjaga gol Belanda, Andries Noppert, menjelang pertemuan pasukannya dengan Argentina dalam suku akhir Piala Dunia Qatar awal pagi Sabtu ini.

Menerusi penampilan kelimanya dalam Piala Dunia, Messi telah menjaringkan tiga gol di Qatar untuk membantu pasukannya layak ke suku akhir, sekali gus menghimpunkan 94 jaringan di pentas antarabangsa.

Messi menyempurnakan 21 daripada 26 sepakan penalti sepanjang kariernya bersama Argentina, di mana salah satu daripada kegagalan berkenaan adalah ketika pasukannya menewaskan Poland 2-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Qatar walaupun dia menjaringkan gol daripada sepakan sama ketika La Albiceleste tewas mengejut 1-2 kepada Arab Saudi dalam aksi pembukaan.

Dengan Sepanyol dan Jepun tersingkir selepas penentuan sepakan penalti dalam pusingan 16, Noppert bersedia menyahut cabaran itu seandainya aksi awal pagi Sabtu ini terpaksa diheret lebih panjang dan Messi akan mengambil sepakan penalti buat Argentina.

"Dia sama seperti kita, dia hanya manusia," kata Noppert kepada wartawan.

"Ia tentang momen ketika itu. Dia juga boleh gagal dan kita sudah melihatnya pada awal kejohanan ini," katanya.

Sebagai rekod, Noppert merupakan pemain kedua dalam sejarah Oranje melakukan penampilan kebangsaan pertama dalam Piala Dunia ketika Belanda membuka kempen di Qatar dengan kemenangan 2-0 ke atas Senegal. -- Stadium Astro