PARIS: Walau dalam keadaan suhu mencecah paras beku, penyokong Perancis keluar berhimpun di pekarangan Champs-Elysees bagi meraikan kejayaan pasukan Les Bleus mara ke final Piala Dunia 2022.

Penyokong dilihat mula memasuki lokasi yang sarat dengan hiasan sambutan Krismas sejurus selepas wisel penamat dibunyikan, walaupun suhu direkod berada pada sekitar 0 darjah Celsius, bagi meraikan kejayaan pasukan mereka, lapor Reuters.


Penyandang juara Perancis berjaya mengulangi sejarah pada edisi 2018 apabila menumpaskan Maghribi 2-0 dalam perlawanan yang amat mendebarkan awal pagi tadi untuk mara ke final buat kali kedua berturut-turut.


BACA: Piala Dunia Qatar: Perancis kalahkan Maghribi 2-0, bertemu Argentina di final

"Kami hanya mahu meraikan kejayaan pasukan dan kami benar-benar dapat rasakan kehangatan sambutan di sini," kata pelajar Kerene Massuka yang datang bersama seorang rakan.

“Ahad ini hanyalah formaliti, piala sudah pun ada di Perancis,” kata Karine, 28, yang menonton perlawanan itu bersama rakan-rakan di gim di Compiegne, utara Perancis.

"Saya sedih namun amat berbangga," kata Thomas Bregas, penyokong pasukan Maghribi.

Perancis dihuni ramai komuniti warga Maghribi, kebanyakannya mempunyai dua kewarganegaraan.

IKUTI RANGKUMAN BERITA PIALA DUNIA 2022 DI SINI 

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron dilapor berkata: "Saya mahu warga Perancis menikmati kejayaan ini."

Kata Macron lagi, rakyat Maghribi tidak perlu berasa malu selepas perjalanan Piala Dunia 2022 yang baginya cukup "luar biasa".

Di Paris, polis bersiap sedia untuk kemungkinan berlaku pergaduhan, susulan insiden selepas kemenangan Maghribi minggu lalu ke atas Portugal pada peringkat suku akhir.

Ratusan trak polis dilihat mengawal keadaan ketika peminat mula melancarkan bunga api dan suar bersekali dengan bunyi hon dan sorakan.

Kira-kira 10,000 pegawai polis digerakkan di seluruh negara, di mana 5,000 anggota akan ditempatkan di wilayah Ile-de-France sekitar Paris dan kira-kira 2,200 di ibu negara.

Jumlah itu ialah dua kali ganda kakitangan keselamatan berbanding perlawanan penting Piala Dunia sebelum ini, kata Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin.

Penyokong Maghribi di Perancis sebelum ini teruja apabila pasukan mereka berjaya mengorak sejarah Piala Dunia apabila menjadi pasukan Afrika dan Arab pertama mara ke peringkat separuh akhir.