ARGENTINA 3 CROATIA 0

Lionel Messi mendedahkan tidak pasti adakah ini adalah edisi Piala Dunia terbaiknya selepas persembahan inspirasinya ketika menghadapi Croatia dan membantu Argentina mara ke final, sebentar tadi.

Messi membuka jaringan menerusi sepakan penalti sebelum menjadi artitek untuk gol kedua di Stadium Lusail menerusi Julian Alvarez , di mana skuad kendalian Lionel Scaloni itu sedang menanti sama ada Perancis atau Maghribi dalam pertemuan Ahad ini.

Ketua pasukan Argentina itu kini telah melakar lima gol di Qatar untuk menyamai jumlah dicatat rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, dalam perlumbaan Kasut Emas.

PIALA DUNIA 2022 

Pemain berusia 35 tahun itu secara tidak langsung mengatasi koleksi empat golnya ketika membimbing negaranya ke final pada 2014, di mana dia memenangi Bola Emas untuk ditabalkan pemain terbaik kejohanan itu di sebalik terlepas kegemilangan ekoran kekalahan 0-1 kepada Jerman.

"Saya berasakan banyak perkara, ia sangat mengujakan untuk melihat semua ini," kata Messi, yang juga menjadi pemain terbanyak membuat penampilan Piala Dunia iaitu 25 perlawanan untuk setanding Lothar Matthaus.

"Melihat orang ramai, keluarga sepanjang Piala Dunia adalah luar biasa. Kami akan menghadapi perlawanan terakhir, itulah yang kami mahukan.

"Saya tidak pasti adakah ini adalah Piala Dunia terbaik saya atau tidak. Saya mahu menikmatinya buat seketika.

"Kami yakin kumpulan ini mampu mencapainya. Kami tahu siapa kai, dan kami menagih orang ramai agar yakinlah dengan kami.

"Kami pernah melalui situasi yang sukar, selainnya bagus. Hari ini, kami mengharungi sesuatu yang menakjubkan.

"Saya seronok dengan mereka termasuk semua warga Argentina yang berada di tanah air. Saya dapat bayangkan sambutannya pasti luar biasa.

"Kami tahu kami bukan calon terbaik tetapi kami tidak akan menyerah kalah kepada sesiapa. Kami membuktikannya dalam perlawanan demi perlawanan.

"Argentina, sekali lagi, berada di final dunia. Nikmatinya!" -Stadium Astro