PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps menyifatkan perlawanan akhir menentang Argentina sebagai 'kejam' selepas mereka bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum tewas di penentuan penalti.

"Kami tidak begitu baik dalam 60 minit pertama menentang lawan yang berkualiti tinggi dan mempunyai lebih banyak tenaga.

"Tetapi, kami kembali entah dari mana dan mengubah permainan daripada situasi yang sangat sukar. Ia menyebabkan kekalahan membuatkan kami lebih menyesal," katanya.

Perancis tewas kepada Argentina 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 tamat masa tambahan dalam aksi final di Stadium Lusail, Doha pada Ahad.

Kylian Mbappe menjaringkan dua gol dalam masa dua minit untuk membatalkan pendahuluan dua gol Argentina dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Dia sekali lagi menjaringkan gol daripada sepakan penalti untuk melengkapkan hatriknya dan menjadikan kedudukan 3-3 selepas Lionel Messi meletakkan lawan kembali di hadapan.

Argentina kemudiannya menang penentuan penalti selepas sepakan Kingsley Coman diselamatkan dan rembatan Aurelien Tchouameni tersasar.

Deschamps menegaskan mereka mempunyai peluang untuk menang perlawanan tersebut di minit akhir permainan, namun gagal menyudahkan beberap peluang terbuka.

"Pada kedudukan 2-0 ia pastinya bukanlah penyesalan yang sama, anda hanya cakap 'bravo' kepada mereka.

"Saya tidak mahu memandang rendah Argentina tetapi ada banyak emosi dan ia adalah sesuatu yang kejam kerana kami terlalu hampir," katanya.

Deschamps turut mendakwa jangkitan virus yang melanda beberapa pemainnya sebelum aksi final menjadi antara faktor persembahan hambar para pemain.

"Ada banyak alasan yang menerangkan kenapa kami tidak bagus. Beberapa pemain penting kurang tenaga tetapi membawa masuk pemain muda tanpa pengalaman luas tetapi lebih segar dan banyak kualiti memberikan kami impian," ujarnya. -- Sinar Harian