PENYERANG muda Brazil, Rodrygo memohon maaf kerana gagal membantu negaranya mara lebih jauh dalam saingan Piala Dunia 2022 setelah tewas penentuan sepakan penalti 2-4 pada aksi suku akhir kepada Croatia.

Bintang Real Madrid itu menggalas tugas mengambil sepakan penalti pertama Brazil dalam penentuan penalti selepas terikat 1-1 dengan Croatia pada aksi berlarutan sehingga tambahan masa.

Penyerang berusia 21 tahun itu, bagaimanapun gagal menewaskan penjaga gol Dominik Livakovic dan situasi lebih parah lagi apabila Croatia menjaringkan kesemua empat penalti mereka.

Menaruh harapan kepada Marquinhos untuk menghidupkan peluang Brazil tetapi sepakan pemain pertahanan itu terkenal tiang.

Rodrygo sangat kecewa dan hilang kata-kata selepas gagal menyempurnakan penalti, menyaksikan perjalanan mereka tersekat di kelompok lapan pasukan terbaik.

"Maaf. Tanpa ragu-ragu ini adalah detik paling menyedihkan dalam karier saya. Daripada syurga ke neraka dalam tempoh singkat. Ia betul-betul seperti yang saya selalu minta supaya tidak berlaku.

"Saya tahu segala-galanya berlalu dan walaupun pada masa ini saya masih tidak mempunyai kekuatan untuk bangun, saya pasti saya akan kembali.

"Saya tidak tahu bagaimana, tetapi saya akan kembali dan lebih kuat," ciapnya di Twitter.